Agenda Penyatuan PAS Dan UMNO, Apakah Noktahnya? (Bahagian 1)

Agenda Penyatuan PAS Dan UMNO, Apakah Noktahnya? (Bahagian 1)

“…Berdamai cara Melayu indah sekali Silaturrahim hati yang murni Maaf diungkap senantiasa bersahut Tangan diulur sentiasa bersambut Luka pun tidak lagi berparut”– Usman Awang “Melayu”

Silaturrahim hati yang murni Maaf diungkap senantiasa bersahut Tangan diulur sentiasa bersambut Luka pun tidak lagi berparut”– Usman Awang “Melayu”


Telah terlalu lama kita mendengar seruan agar PAS dan UMNO, dua buah parti yang memayungi umat Islam dan orang Melayu di negara ini bersatu, namun sehingga ke hari ini, belum terlihat lagi bibit-bibit penyatuan itu. Lebih-lebih lagi apabila beberapa pemimpin PAS sentiasa cenderung memberikan pelbagai alasan menolak agenda terbabit.

Apatah lagi dalam situasi semasa PAS yang memperlihatkan wujud perikatan-perikatan baru dalam parti itu dengan agenda masing-masing dan kepentingan tertentu sememangnya menyukarkan lagi agenda ini dilaksanakan.


Walaupun telah kedengaran sahutan agenda penyatuan ini di peringkat akar umbi PAS dan UMNO, namun tanpa sebarang usaha digerakan oleh kepimpinan kedua-dua parti, perkara ini amat mustahil dibina. 


Ditambah pula dengan kehadiran golongan liberalis dalam kedua-dua parti ini yang menganggap penyatuan ini akan mengekang usaha mereka mengembangkan lagi ideologi tersebut, maka sudah pasti agenda ini akan lebih sukar dan getir untuk dicapai.


Sejarah pernah menyaksikan kedua-dua parti ini bergabung di bawah payung Barisan Nasional (BN) ketika zaman kepimpinan Tan Sri Dato’ Dr Hj Mohd Asri Hj Muda sebagai Presiden PAS. Namun kerjasama ini tidak berkekalan apabila wujud konflik pemilihan Menteri Besar Kelantan selepas Pilihanraya Umum 1977 yang menyaksikan PAS bertindak keluar dari BN dan Asri digulingkan oleh kepimpinan ‘muda’ parti itu. 


Kemudiannya kisah ini telah dijadikan doktrin kalangan ahli parti itu selama puluhan tahun bagi meyakinkan mereka bahawa sebarang usaha kerjasama dengan UMNO tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada PAS.


Apatah lagi kesudian PAS untuk bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Pembangkang membuktikan parti itu tidak mempunyai sebarang keinginan untuk kembali menjalinkan permuafakatan dalam UMNO.


Namun permusuhan tradisi ini tidak wajar dijadikan alasan untuk PAS atau UMNO menolak sebarang persefahaman terutama melibatkan kepentingan Islam dan Melayu di negara ini, lebih-lebih lagi dalam senario semasa politik menyaksikan umat Islam dan orang Melayu sedang diasak dari segenap sudut. 


Persoalannya apakah Islam dan Melayu perlu dimangsakan kerana kebencian yang sedang menyemarak dalam kedua-dua parti politik ini?
Malah jelas kepentingan umat Islam dan orang Melayu semakin diabaikan apabila PAS dan UMNO dilihat cuba menyantuni perasaan penganut agama dan bangsa lain lebih daripada kelompok pendokong parti-parti ini sendiri semata-mata untuk meraih sokongan mereka. 


Walaupun peranan ini seharusnya dimainkan oleh rakan komponen mereka dalam gabungan masing-masing.


Tetapi keadaan yang berlaku adalah sebaliknya apabila UMNO dan PAS cuba menjadi adiwira kepada kaum lain, sehingga menyebabkan orang Melayu sendiri berasa hati. Apatah lagi dalam keadaan semasa yang menyaksikan pelbagai serangan isu terhadap umat Islam dan orang Melayu. 


Soalnya adakah PAS dan UMNO cukup yakin bahawa undi orang Melayu masih memihak kepada mereka?

Seandainya situasi berterusan, maka wujud kewajaran untuk desakan agar agenda penyatuan PAS dan UMNO disegerakan, malah saya cukup yakin bahawa penyatuan ini nanti akan mengurangkan jurang perpecahan intra-Melayu yang sedang berlaku, selain bakal memperhebatkan kuasa pendesak kalangan umat Islam dan orang Melayu terhadap kedua-dua parti ini.


Dan sudah pastinya penyatuan ini bukan sahaja menguntungkan ahli kedua-dua parti politik ini sahaja, sebaliknya orang Melayu itu secara keseluruhan walaupun mereka tidak mempunyai parti.

BERSAMBUNG

Author Image
Zack Perez