Rombak Kepimpinan Badan Perhubungan Jalan Selesai Krisis UMNO Selangor

Rombak Kepimpinan Badan Perhubungan Jalan Selesai Krisis UMNO Selangor

Pergeseran politik dalam Badan Perhubungan UMNO Selangor semakin meruncing, ditambah lagi dengan kehadiran beberapa blog yang giat menghentam dan mengasak Pengerusinya, Dato’ Seri Noh Omar agar berundur dan diganti dengan pemimpin lain.

Menilai kepada situasi ini sahaja, mungkin saya boleh simpulkan bahawa keadaan ini tidak ubah seperti semasa konflik Menteri Besar Selangor baru-baru ini yang memperlihatkan Khalid Ibrahim dikambinghitamkan demi melunaskan kemahuan seseorang untuk berkuasa.


Bezanya antara konflik jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Pakatan Rakyat adalah kerajaan di negeri ini, sebaliknya UMNO pula adalah pembangkang.


Seandainya realiti ini masih tidak mampu dihadam oleh kepimpinan dan akar umbi UMNO di semua peringkat, maka benarlah pandangan beberapa pihak bahawa UMNO di Selangor masih khayal dan berlagak seolah-olah pemerintah di negeri ini.


Benar, UMNO Selangor ketika ini berada dalam keadaan paling lemah terutama apabila parti itu hanya mampu memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13, tetapi apakah pergeseran dan perpecahan dalam parti itu akan menyebabkan rakyat kembali menyokong UMNO? Apakah dengan hanya menukar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadikan UMNO lebih kuat di Selangor?


Seandainya persoalan ini dianalisis secara lebih mendalam, hakikatnya rombakan secara besar-besaran perlu dilakukan dalam parti terutama melibatkan kepimpinan tertinggi Badan Perhubungan UMNO Selangor wajar dilakukan dan bukan sekadar mengkambinghitamkan Noh sahaja.

Tindakan meletakkan kesalahan kepada Noh semata-mata tidak menjamin survival parti, lebih-lebih lagi jika masih ramai pemimpin yang dibenci rakyat masih menikmati pelbagai kelebihan dan kesenangan atas tiket UMNO.


Dan lebih mendukacitakan pemimpin-pemimpin ini pula sedang berada dalam saf kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Maka timbul persoalan, apakah hanya Noh sahaja yang perlu ditukar atau keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Selangor perlu dirombak dan dinilai semula keperluan mereka untuk terus dikekalkan?


Sejarah mengajar kita bahawa sesebuah tamadun yang hebat tidak boleh terbina dengan semata-mata usaha seorang pemimpin agung, sebaliknya memerlukan bantuan dari rakyat dan juga bantuan dari pemimpin-pemimpin lain.


Mengambil pengajaran ini, maka seandainya kita mahu melihat UMNO Selangor kembali gah dan mampu menawan hati pengundi di negeri ini, wajarlah untuk kita mendesak rombakan kepimpinan UMNO Selangor secara besar-besaran dan bukan hanya menjadikan Noh sebagai kambing hitam.


Situasinya akan kekal sama seandainya struktur UMNO Selangor masih kekal sama dengan hanya pertukaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor baru.

Malah seandainya pula UMNO Selangor sudah pun berjaya diubah menjadi lebih baik, tetapi di peringkat bahagian dan cawangan masih menggunakan modus lama dan retorik palsu, masakan sokongan rakyat akan kembali.


Jelas perubahan ini bukan semata-mata melibatkan Noh sahaja, sebaliknya tradisi dan pendekatan lama yang dilihat tidak efektif juga harus segera ditukar untuk melihat survival parti ini dalam pilihan raya akan datang.

Jangan pula esok apabila Noh sudah ditukar pun, UMNO Selangor masih memberikan pelbagai alasan untuk menawan hati pengundi.

Akhirnya UMNO Selangor tidak ubah seperti UMNO Kelantan – Hidup segan, mati tak mahu.

Author Image
Zack Perez