Tukar Noh Omar Belum Tentu Selesai Krisis UMNO Selangor

Tukar Noh Omar Belum Tentu Selesai Krisis UMNO Selangor

Tukar Noh Omar Belum Tentu Selesai Krisis UMNO Selangor

Pergolakan politik di Selangor nyata bukan sahaja melibatkan Pakatan Pembangkang, malah kini telah terpalit pula kepada UMNO.

Desakan demi desakan untuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Dato’ Seri Noh Omar berundur dan digantikan dengan calon lain semakin kuat apabila Presiden, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menemplak kepimpinan parti yang didakwanya lembap menyusun strategi mengembalikan sokongan rakyat.


Walaupun kenyataan Najib itu tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin dan badan perhubungan negeri secara khusus, malangnya beberapa pihak seolah-olah menangguk di air keruh atas situasi ini untuk menuding jari ke arah Noh, sementelaah pula kenyataan tersebut diucapkan semasa Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini.


Saya sendiri bukan seorang penyokong Noh, apatah lagi acap kali juga saya mengkritik cara pentadbiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu. 


Namun saya juga harus memperakui bahawa tindakan untuk menggulingkan Noh secara strategik ini dan kemudian digantikan dengan pemimpin UMNO Selangor yang lain tidak memberi signifikasi lebih baik, malah akan melebarkan jurang perpecahan kalangan kepimpinan dan akar umbi di negeri ini.


Pokoknya pertukaran Noh bukan penyelesaian terbaik untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti memandangkan UMNO Selangor sendiri sedang ketandusan pemimpin berkaliber, sementelaah pemimpin muda dilihat belum cukup ampuh untuk menggalas tugas memimpin negeri.


Seandainya dibandingkan beberapa nama yang disebut bakal menggantikan Noh, saya secara peribadi cukup khuatir pengganti ini sebenarnya sekadar indah khabar dari rupa.

Apatah lagi saya mengikuti secara dekat perkembangan pemimpin tersebut dan mengetahui beberapa rahsia mereka yang saya fikirkan bakal memberi implikasi negatif kepada UMNO seandainya terbongkar.

Malah jika dinilai dari pelbagai sudut, saya rasa sebilangan besar pemimpin parti ini sedang didominasi golongan ‘kitar semula’ yang merupakan beban kepada UMNO dan dianggap pula sebagai musuh oleh sebilangan besar rakyat.


Maka bagaimana mahu mengembalikan sokongan rakyat, jika UMNO terus dihurung ‘tembuan tanah’ yang bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada parti, malah menyengat pula apabila diserang?


Hakikatnya bukan sekadar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor sahaja perlu ditukar, sebaliknya pemimpin di setiap peringkat harus kembali dinilai semula sama ada diterima oleh rakyat atau sebaliknya.
Dalam erti kata lain, UMNO Selangor memerlukan perubahan dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi, tidak cukup dengan sekadar menukarkan Noh semata-mata.


Malah seperti saya katakan, parti ini sebenarnya sedang ketandusan pemimpin berwibawa, sementelaah gagal menampilkan pelapis-pelapis baru yang mempunyai rekod lebih bersih dan baik.

Maka bagaimana UMNO mahu menawan hati rakyat jika parti ini terus mengekalkan calon kitar semula yang ditolak oleh rakyat dalam setiap pilihan raya umum?

Hakikatnya sesiapa pun yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri belum tentu menjamin UMNO kembali mentadbir Selangor selagi parti ini masih berpaksikan kepada kehendak ketua-ketua bahagian dan bukan keinginan rakyat.


Lihat sahaja semasa Pilihan Raya Umum ke-13 apabila Presiden UMNO sendiri mengemudi perhubungan negeri ini, apakah Barisan Nasional (BN) berjaya kembali menawan hati pengundi dan memenangi negeri ini semula?

Maka seandainya keadaan ini dinilai secara rasional, saya berani menyatakan bahawa pertukaran Noh tidak akan memberikan implikasi lebih baik terhadap parti apatah lagi sebilangan besar kepimpinan UMNO di semua peringkat sedang ditolak oleh rakyat.


Natijahnya kepimpinan UMNO Selangor perlu belajar untuk menjadi pembangkang dan bukan masih berkhayal seolah-olah UMNO adalah kerajaan di negeri ini, selain bersedia untuk bersatu-padu dan bukan saling menikam sesama sendiri seperti yang berlaku dalam krisis jawatan pengerusi perhubungan negeri, baru-baru ini.

Seandainya sebilangan kepimpinan UMNO masih berdegil dan mahu menjatuhkan Noh demi mengejar jawatan, maka apakah bezanya UMNO dan Pakatan Pembangkang di Selangor ini?

Tepuk dada, tanyalah selera.

Author Image
Zack Perez