UMNO Perlu Dengar Suara Akar Umbi Andai Mahu Kekal Memerintah

UMNO Perlu Dengar Suara Akar Umbi Andai Mahu Kekal Memerintah

UMNO Perlu Dengar Suara Akar Umbi Andai Mahu Kekal Memerintah

Gelombang politik UMNO nampaknya mula bergelora apabila pemimpin akar umbi di Selangor mengambil pendekatan drastik termasuk melepaskan jawatan disandang sebagai tanda protes terhadap Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pucuk pimpinan parti itu. (baca di sini)

Peletakan jawatan pemimpin akar umbi tersebut mungkin dianggap hanya kes terpencil dan belum mampu menjadi kayu ukur dan penyukat kepada tahap sokongan ahli UMNO terhadap pucuk pimpinan parti, namun cukup untuk menjadi isyarat penting bahawa akar umbi telah berani bersuara menterjemahkan perasaan muak dan mual mereka terhadap cara UMNO dikemudikan.


Apatah lagi situasi sebegini sememangnya kurang enak didengar lebih-lebih lagi setelah Najib baru-baru ini menemplak kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan cawangan yang dianggapnya masih lembap dalam merangka dan melaksanakan gerak kerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Namun hakikatnya kenyataan Najib itu pula diterjemahkan dengan reaksi berbeza di peringkat akar umbi kerana mereka berpendapat bahawa kegagalan UMNO kini banyak disumbangkan oleh faktor ketidakcekapan pengurusan pucuk pimpinan parti, selain sebilangan ahli UMNO turut beranggapan bahawa Presiden UMNO merupakan liabiliti terbesar dalam usaha menjernihkan sokongan rakyat terhadap parti itu.
Anggapan ini kemudian akan menjadi gelombang penolakan akar umbi terhadap kepimpinan Najib sama seperti berlaku pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO. Akhirnya tidak mustahil Najib juga terpaksa berundur dari lanskap politik pada saat kariernya merudum dan suram.

Seandainya Najib masih gagal menangani persepsi dalaman partinya sendiri dengan berkesan dan tidak cuba memahami kehendak akar umbi, saya khuatir beliau bakal berhadapan situasi ‘digulingkan secara terhormat’ melalui desakan ahli-ahli UMNO sendiri. 
Dan pastinya keadaan ini tidak diinginkan mana-mana pemimpin politik ketika mengakhiri karier mereka.


Malangnya menilai kepada beberapa tindakan Najib sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri, beliau dilihat seolah-olah tidak mempedulikan pandangan akar umbi dan rakyat terutama ketika membuat keputusan penting termasuk semasa menghapuskan Akta Dalam Negeri (ISA) dan terbaru, sewaktu mencadangkan penghapusan Akta Hasutan.
Ironinya keputusan Najib itu jelas bertentangan dengan kehendak majoriti akar umbi dan rakyat yang mahu beliau tegas dan tindak tunduk kepada mana-mana desakan untuk menghapuskan akta-akta tersebut kerana dianggap terbukti berjaya mengekalkan keharmonian negara selama ini. 
Apatah lagi setelah ISA dihapuskan, pentadbiran Najib dilihat gagal mengekang cubaan-cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan menganggu ketenteraman awam.


Malah kepimpinan beliau mengendong terlalu banyak isu bersifat kontroversi termasuk melibatkan perbelanjaan boros kerajaan, ketidakcekapan pengurusan kewangan dan pentadbiran negara, kegagalan fungsi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketidakuntungan pelaburan di luar negara sehingga kepada isu bersifat peribadi.

Dan ini mencetuskan pandangan di peringkat akar umbi bahawa Najib sememangnya liabiliti kepada UMNO.

Anekdotnya Presiden UMNO perlu mendengar suara ahli UMNO di setiap peringkat seandainya ingin memastikan survival dan kelangsungan UMNO terus kekal pada masa akan datang, Tetapi kondisi tersebut nyata belum dilaksanakan kepimpinan Najib.

Sebaliknya beliau dilihat lebih banyak mendahulukan pandangan para penasihatnya yang tidak memahami kehendak akar umbi dan inilah dianggap sebagai kelemahan terbesar kepimpinan Presiden UMNO itu.

Beliau seharusnya bersedia mendengar pandangan akar umbi dan bukan semata-mata beretorik kononnya beliau mendengar denyut nadi rakyat, walhal keputusan tersebut jelas membelakangi kehendak majoriti masyarakat di negara ini.


Malah beliau sebagai Presiden UMNO wajar menilai kembali setiap keputusan yang dibuat agar menepati kehendak pengundi terutama dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti dan bukan cuma sekadar mampu memuaskan kelompok tertentu sahaja.


Jangan disebabkan Najib mahu menjaga hati pihak-pihak berkepentingan, akhirnya akar umbi parti sendiri merasa meluat dan tidak mahu lagi berjuang bersama-sama UMNO, malah sehingga menolak pucuk pimpinan hingga tersungkur menyembah bumi.

Sewaktu itu, akar umbi pun tidak mahu bersuara lagi.

Author Image
Zack Perez